#footer-column-container { clear:both; } .footer-column { padding: 10px; }
MySpace Graphics
zwani.com myspace graphic comments

Friday, June 25, 2010

Baju Melayu Untuk Ayah

Oleh: Nazna Misran


Ayah dan ibu

Ayah dan ibu

Itulah permulaan kami

Dapat melihat bulan dan Matahari

Ahai...

“Fahmi... Fahmi. Bangun nak. Kita sahur sama-sama.” Pak Jali mengejutkan anak bongsunya yang masih berselubung dalam selimut. Fahmi menggeliat.

“Hish... tak naklah puasa. Nanti Fahmi tak laratlah nak jalan kaki pergi sekolah,” ujar kanak-kanak berusia 10 tahun itu. Dia segera menarik selimut dan kembali berselubung di dalamnya.

“Fahmi, tak baik tau cakap macam tu. Kita sebagai umat Islam, wajib berpuasa. Puasa merupakan Rukun Islam kita yang ketiga...”

“Ish... bebel pulak orang tua ni. Ye lah, Fahmi bangunlah ni.” Dengan berselubung sehelai kain pelekat, Fahmi membuntuti ayahnya ke ruang dapur. Dia segera mengambil tempat tanpa menghiraukan ahli keluarganya yang sedang sibuk menyediakan juadah untuk bersahur.

“Ish... cepatlah hidangkan makanan tu. Tadi beria-ia suruh Fahmi bangun!” tengkingnya. Farid cuba memukul adiknya yang bersikap kurang ajar, tetapi segera ditegah oleh Pak Jali. Mak Senah meletakkan hidangan di atas tikar mengkuang. Lama Fahmi merenung hidangan tersebut, seola-olah tidak percaya.

“Ibu... takkanlan lauk telur dengan kicap? Inikan hari pertama kita berpuasa. Masaklah ayam ke, daging ke, ikan ke...” bentak Fahmi.

“Fahmi, cuba kau jangan merungut depan rezeki. Dah itu je lauk yang kita mampu, makan jelah.” Farid cuba menegur kelakuan biadap adiknya itu.

“Kau diamlah, Farid. Kau tu anak pungut je, tak payah nak membebel dengan aku,” ujar Fahmi sebelum bingkas bangun dan berlalu pergi ke kamarnya.

“Fahmi, nak ke mana tu?” soal Pak Jali.

“Nak pergi tidurlah. Kalau setakat makan telur dengan kicap, Fahmi lebih rela tak makan.”

Masing-masing terdiam, terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh kanak-kanak lelaki itu. “Sabar jelah bang, Farid. Fahmi tu memang macam tu. Marilah kita makan. Kejap lagi dah nak masuk wakatu Imsak,” pujuk Mak Senah.

Waktu berbuka puasa hampir tiba. Keluarga Pak Jali sudah berkumpul di ruang dapur dengan juadah berbuka puasa mereka.

‘Huh! Balik-balik lauk telur. Telur, telur, telur. Bukannya ayah tak ada ayam, kambing dan lembu tu semua. Tak rugi kalau ayah sembelih seekor pun. Ni tak, orang tua tu memang kedekut,’ getus hati Fahmi tatkala mengangkat tudung saji. Dia segera menukar pakaian dan melangkah menuruni anak tangga rumahnya.

“Fahmi... nak ke mana tu, nak?” soal Pak Jali, kehairanan.

“Fahmi nak pergi buka puasa kat masjid. Sekurang-kurangnya, kat surau dia orang tak hidang lauk telur. Paling kurang pun, mesti ada gulai daging.” Fahmi mencapai basikal buruknya di bawah rumah dan berkayuh menuju ke masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Ibu... tahun ni Fahmi nak baju Melayu warna oren, ya bu. Dah lama Fahmi tak beli baju baru. Kawan-kawan kat sekolah... baju dia orang sampai 2-3 pasang. Tapi Fahmi... sepasang pun susah nak dapat.”

Mak Senah memandang tepat ke wajah anak tunggalnya itu. Dia berasa serba salah kerana sekali lagi, dia tidak dapat memenuhi permintaan anaknya itu.

“Ibu minta maaf, nak!”

“Ahh... ni mesti ibu kata tak ada duit, kan? Kalau tak ada duit, kenapa ibu dan ayah susah-susah pungut si Farid tu dulu? Dahla tempang, bodoh pula tu. Kalau dia tak ada, mesti duit ayah dan ibu cukup untuk beli semua keperluan Fahmi.”

“Shh... Fahmi, tak baik kamu cakap abang kamu macam tu. Kalau dia dengar, mesti dia kecil hati.”

“Ahh... dia bukan abang Fahmi. Ibu jangan sekali-kali kaitkan budak tempang tu dengan Fahmi. Fahmi tak ada kena mengena dengan dia. Lagi satu, Fahmi tak kira. Tahun ni, Fahmi nak juga baju raya baru. Kalau terpaksa jual rumah ni pun, tak apa. Janji Fahmi dapat apa yang Fahmi nak. Faham?!”

Bunyi cengkerik memecahkan suasana hening malam itu. Pak Jali dan Mak Senah duduk di beranda rumah, membincangkan perihal yang berlaku siang tadi. Perbualan mereka diperlahankan, bimbang didengari oleh kedua-dua anak mereka.

“Saya tak tahu macam mana nak ubah perangai si Fahmi tu. Makin hari, makin melampau. Saya tak kisah kalau dia nak marah kat saya. Tapi saya tak tahan bila dia marahkan si Farid tu sekali. Farid tu tak tahu apa-apa, dia tak bersalah,” luah Mak Senah dengan nada hiba.

“Semua ni salah saya...” Pak Jali mula bersuara setelah membisu agak lama. “Saya gagal jadi bapak yang baik. Saya tak mampu nak memberikan kemewahan kepada keluarga kita. Jangan kata nak beli rumah baru, nak beli baju baru sepasang pun saya tak mampu. Saya bapa yang tak bertanggungjawab.” Pak Jali mula menitiskan air mata. Dia tahu, pekerjaannya sebagai pemungut sampah di salah sebuah kolej swasta tidak mendatangkan pendapatan yang lumayan. Malah, hidupnya sekeluarga sering dicaci dan dihina oleh masyarakat setempat. Namun, dia pasrah. Hanya itu saja pekerjaan yang mampu dilaksanakan oleh insan tak berpelajaran sepertinya. Mujur majikannya seoarang yang baik. Dia membiayai modal untuk Pak Jali membeli ayam, kambing dan lembu untuk diternak dan dijual.

“Abang, saya minta maaf. Saya tak berniat nak buat abang terasa. Maafkan saya.”

“Shh... kamu tu tak bersalah, Senah. Tak apalah, soal baju baru anak kita tu... serahkan saja pada abang. InsyaAllah, abang akan cuba ikhtiarkan.”

Petang itu setelah pulang dari sekolah, seperti biasa, Farid akan pergi ke kandang untuk memberi makan kepada haiwan kesayanganya, Montel. Tetapi, kelibat Montel tidak kelihatan di mana-mana. Puas dia mencari kambing biri-biri yang dipeliharanya sejak kecil lagi.

“Montel! Montel!” suara Farid kedengaran di seluruh pelusuk kampung. Dengan kaki yang tempang, dia berjalan ke segenap penjuru kampung bagi mencari kambingnya yang hilang. Ketika senja mula berlabuh, barulah Farid pulang ke rumah dengan perasaan yang hampa.

“Kamu pergi mana, Farid? Dah dekat nak Maghrib baru nak balik?” soal Pak Jali, tegas. Farid tidak berani untuk bertentang mata dengan ayahnya. Dia memandang ke arah ibu dan adiknya. Farid kehairanan. Dilihat Fahmi sedang bergembira dengan baju Melayu dan kasut barunya. Matanya tertancap pada juadah yang terhidang di hadapannya. Kesemuanya enak-enak belak. Dia mengerutkan dahi.

“Ni, ayah dan ibu dah belikan baju baru untuk kamu jugak. Lepas solat Terawikh nanti, kamu boleh cuba.” Mak Jah menyorongkan bungkusan plastik kepada Farid.

“Mana ayah wang untuk beli semua ni, yah?” soal Farid. Dia berdebar-debar menanti jawapan yang bakal terlontar dari bibir pikun Pak Jali.

“Ayah dah jual kambing kesayangan kau, si Montel tu,” sampuk Fahmi. Farid memandang tepat ke wajah kedua orang tuanya, meminta kepastian. Pak Jali terpaksa mengangguk, serba salah. Farid terkesima.

Yang dikurniakan dari Illahi

Ayah dan ibu

Ayah dan ibulah mesti dihormati

Ahai...

“Fahmi, jaga diri baik-baik kat negara orang tu. Jangan tinggal solat, jangan tinggal puasa,” pesan Pak Jali. “Ini... ada baju Melayu baru. Ayah belikan untuk kamu. Nanti, tak adalah kamu kempunan untuk pakai baju ni kat Amerika.” Fahmi tidak betah untuk terus berada lama-lama di situ. Kawan-kawannya sudah mula memandang sinis ke arahnya. Mana tidaknya, ibu bapa mereka menghantar mereka ke KLIA dengan berpakaian kemas, sedangkan bapanya datang dengan berpakaian lusuh.

“Err... okaylah, ayah... ibu. Fahmi dah nak kena berangkat sekarang. Bye...” Fahmi segera beredar sebelum sempat bersalaman dengan kedua orang tuanya. Dia malu untuk terus berada di sisi mereka. Nanti apa pula kata Zarina, teman wanitanya yang juga akan sama-sama berangkat ke Amerika bagi melanjutkan pelajaran di sana.

“Ayah, marilah kita pulang. Fahmi dah nak berangkat tu,” pujuk Farid.

“Tunggulah kejap lagi. Fahmi lupa nak salam ayah tadi. Ayah pasti, mesti Fahmi akan patah balik ke sini nanti.” Pak Jali duduk di bangku yang terdapat di situ. Dalam hatinya, dia berkata, ‘Senah, kalau kau hidup lagi... mesti kau bangga dengan anak kita. Dia dah nak pergi Amerika, belajar kat sana. Itu yang kau nak, kan?’

Setelah hampir sejam menunggu, kelibat Fahmi masih belum kelihatan. Farid yakin kapal terbang yang dinaiki oleh adiknya itu sudah lama berlepas.

“Ayah... mari kita balik. Dah lewat ni,” pujuk Farid lagi. Dia kasihan melihat bapanya yang sedang menggigil kesejukan di lapangan terbang yang berhawa dingin itu.

“Kejaplah... Fahmi mesti patah balik tu. Dia takkan pergi sebelum cium tangan ayah ni.”

Kemeriahan menyambut bulan Ramadhan di Amerika Syarikat tidak sama seperti di negara-negara Islam yang lain. Malah, ada juga umat Islam di sana yang seakan-akan lupa akan kewajipan mereka sebagai seorang Muslim. Fahmi juga tidak terkecuali.

“You makan, Fahmi? Sekarang kan dah waktu siang. You tak puasa?” soal Zarina, kehairanan. Fahmi menghentikan suapannya. Dia terdiam seketika sebelum ketawa dengan kuat.

“Hei, Zarina. Sejak bila you jadi alim ni? Buat apa nak puasa? Tengoklah cara hidup kita ni. Hidup macam suami isteri, tapi tak pernah nikah. You ingat, bila you puasa... dosa-dosa you akan terhapus? Tak semudah itu, sayang. I tak nak susah-susah puasa. I tahu, dosa I takkan terhapus. So, buat apa I nak susah-susahkan diri, kan?”

Beberapa tahun telah berlalu. Kini, Fahmi bangga kerana berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan. Malah, dia kini berbangga kerana menjadi menantu kepada Dato’ Razali, salah seorang ahli perniagaan tersohor di Malaysia yang juga merupakan ahli politik. Fahmi bakal menjadi CEO di Razali Holdings menggantikan tempat bapa mertuanya itu.

“Dah dekat setahun kita balik ke Malaysia, tapi you tak pernah pun bawa I jumpa father you,” ujar Zarina, meluahkan apa yang selama ini terpendam dalam hatinya.

“Ahh... you kan dah ada father. Buat apa nak sibuk-sibuk pasal father I? Entah orang tua tu hidup lagi ke tidak,” balas Fahmi, acuh tak acuh. Dia tidak senang duduk setiap kali Zarina mengungkit perihal kehidupan silam yang telah lama dia tinggalkan. Kehidupan yang dibelenggu dengan kemiskinan.

“Thats whay la I nak you bawa I jumpa father you tu. Tengok sama ada father you still ada lagi ke tak. Kenalkan father you dengan menantu dia ni.”

Ayah dan ibu

Ayah dan ibu

Wali-wali keramat

Pada mereka kita beri hormat

Ahai....

“Ayah... ayah buat apa ni? Ayah kan tak sihat. Ayah kena banyakkan berehat.” Farid memimpin bapanya yang cuba turun ke bawah rumah.

“Ayah dah sihat... Ayah dapat rasakan adik kamu nak balik berbuka puasa kat sini hari ni. Ayah nak sembelih ayam, ayah nak masak yang sedap-sedap untuk dia.”

“Tapi ayah... dah banyak kali ayah cakap benda yang sama. Tapi Fahmi tak juga muncul. Ayah lupakan jelah. Mari naik atas, kita berehat.”

“Arghh... aku tak nak! Lepaskan aku. Aku nak masak untuk Fahmi. Aku tau Fahmi akan balik hari ni.” Pak Jali menolak kuat tubuh Farid sehingga lelaki tempang itu jatuh ke tanah. Sebuah kereta mewah masuk ke halaman rumah usang mereka. Fahmi tidak bersedia untuk kembali kepada kehidupan lamanya. Dia tahu ayahnya masih hidup, kerana dia ada mengupah orang untuk menyiasat tentang keluarganya sewaktu dia baru pulang ke Malaysia dahulu.

“Fahmi?” Pak Jali tersenyum gembira. Gerak hatinya kali ini ternyata benar.

Fahmi memandang tepat ke arah juadah berbuka puasa yang terhidang di tikar mengkuang. Sesekali dia menjeling ke arah Zarina. Ternyata isterinya itu gembira dapat bertemu dengan bapa mertuanya.

“Uweekk...” Fahmi berlari ke sinki dapur, memuntahkan segala makanan yang baru disuapkan ke dalam mulutnya sebentar tadi.

“Eeeiii... masakan apa ni? Loya tekak aku nak makan!” spontan kata-kata itu keluar dari bibir Fahmi.

“Inikan masakan gulai tempoyak kegemaran kamu. Dulu kamu selalu suruh mak masakkan masakan ni setiap kali bulan puasa.”

“Makanan kegemaran Fahmi? Please... Fahmi tak makan benda-benda ni semua. Tak apalah ayah. Ayah habiskan je makanan ni dengan si tempang tu. Ina, jom kita balik. Dah lewat ni.” Fahmi segera menarik tangan isterinya yang sedang terpinga-pinga. Kereta mewah yang dinaiki mereka meluncur laju menelusuri jalan berbecak ke rumah Pak Jali.

‘Fahmi... kau lupa nak salam tangan ayah, nak,’ bisik hati Pak Jali dengan penuh hiba.

“Kenapa you buat father you macam tu? Tak baik tau. Tinggalkan rumah secara tiba-tiba.”

“You tolong diam, boleh tak? Kepala I tengah berserabut ni. Yang you suka sangat nak bela father I tu kenapa? I tau... you dah syok kat si tempang tu kan? I nampak, Zarina... I nampak cara you pandang si tempang tu. Bukan main syok lagi. I sakit hati, tau tak?!”

“You... Farid tu abang you, dia abang ipar I. Tak baik you cakap macam tu.”

“Dia bukan abang I, faham?!” Melengking suara Fahmi. Akibat kemarahan yang menguasai diri, dia gagal mengawal kenderaan yang dinaiki mereka. Kereta tersebut terbabas ke pembahagi jalan, sebelum merempuh sebuah bas dari arah bertentangan.

Pakailah tunjuk ajar dan nasihat

Ahai...

Supaya hidup

Supaya hidup kita akan selamat

“Kau dah sedar?” soal satu suara tatkala Fahmi mula membuka matanya. Dia mengerutkan dahi. “Apa kau buat kat sini?” soal Fahmi kepada Farid. “Mana Zarina?”

“Shh... jangan banyak bercakap. Kau masih belum sembuh. Berehatlah.”

“Aku tanya mana Zarina. Kau pekak ke?” tengking Fahmi.

“Zarina dah selamat dikebumikan 2 minggu lepas. Dia meninggal di tempat kejadian. Dan kau pula koma sejak kemalangan tu berlaku.” Farid menjelaskan kedudukan yang sebenar. Fahmi terdiam sejenak. Dia cuba mengingati apa yang berlaku tempoh hari, tetapi gagal.

“Aku panggilkan doktor. Lepas ni, kau dah boleh pulang ke rumah kita.”

“Rumah kita? Buat apa aku nak balik ke situ lagi? Aku ada banglo mewah kat KL. Aku tak perlu kembali ke tempat buruk tu lagi.”

“Fahmi... bapa mertua kau dah rampas balik semua harta kau, termasuk rumah, kereta dan duit. Dia tuduh kau punca kepada kematian Zarina. Sekarang kau dah tak ada apa-apa.”

“Tidak! Tidak! Aku tak percaya! Kau tipu. Tipu. Tipu!!!”

“Kau berehatlah dulu. Oh ye... kalau kau nak mandi, pakaian kau ada kat dalam almari ni. Ayah belikan baju Melayu untuk kau setiap tahun, sejak kau berangkat ke Amerika. Dia cakap, bila kau balik nanti... mesti kau nak pakai baju Melayu. Ayah tak pernah bagi aku pakai pun baju-baju ni. Ayah pun tak pernah beli baju Melayu baru tau.”

Fahmi membelek-belek helaian baju Melayu yang tersusun rapi di almari kayu usang itu. Dia menyesal dengan sikapnya selama ini.

“Ayah kat mana? Dari tadi tak nampak pun.”

“Ayah ada kat hospital. Lepas kau balik tempoh hari, dia terus kena serangan jantung. Sekarang, ayah masih ditahan di wad. Keadaannya makin kritikal. Malam ni, aku nak jaga ayah. Kau berehatla kat rumah. Makanan semua aku dah sediakan. Besok kalau kau nak sahur, kau panaskan je lauk-lauk tu.

Fahmi melangkah perlahan sambil dipapah oleh Ujang, jiran sebelah rumah ayahnya. Mereka menuju ke wad di mana Pak Jali ditempatkan untuk menerima rawatan. Doktor mengesahkan kaki Fahmi akan cacat buat selama-lamanya. Kini, dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia juga lelaki tempang seperti Farid.

“Ayah...” Fahmi menerpa katil Pak Jali seraya memeluk tubuh lelaki tua itu. Pak Jali membalas pelukan Fahmi dengan erat.

“Ni... Fahmi ada belikan baju Melayu baru untuk ayah. Raya nanti, kita boleh pakai baju baru sama-sama. Pak Jali menitiskan air mata, diikuti semua yang ada di situ.

“Alhamdulillah... kau dah berubah, nak. Sekarang, ayah boleh pergi dengan tenang.”

“Ayah... jangan cakap macam tu. Ayah jangan tinggalkan Fahmi. Fahmi belum balas jasa-jasa ayah selama ni. Ampunkan Fahmi, ayah.”

"Asyhaduallailahaillahah... Waasyhaduannamuhammadarrasulullah...”

Ttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt........................................

Warkah Buat Ayah

Ayah,

Maafkanku kerna mengganggu lenamu,

Sekali lagi,

Hati ku bagai didesak untuk menulis warkah ini,

Sebagai tanda rinduku padamu,

Meskipun bertahun telah berlalu,

Namun anakmu ini masih begini,

Termanggu sendirian tanpa arah.

Ayah,

Semalam ku bermimpi lagi,

Kau datang menghulur kuntum senyum,

Tanpa suara,

Kau memandangku sayu,

Entah mengapa,

Aku membalas dengan lontaran suara,

Dan kau pun terkesima,

Sebelum berlalu pergi.

Ayah,

Aku letih,

Mengenangkan memori semalam,

Antara kita,

Bagai ada jarak pemisah,

Aku tak bisa menerimamu,

Meskipun kau banyak beralah,

Aku tetap dengan pendirianku,

Menolakmu jauh ke tepi,

Bagai satu kepuasan tak terperi.

Ayah,

Nah! Lihatlah anakmu kini,

Menerima balasan atas dosa yang diciptanya sendiri,

Ya... aku derhaka,

Pada seorang insan bergelar bapa,

Meski aku dianggap mulia,

Hakikatnya... aku adalah insan terhina,

Yang pernah lahir ke dunia.

Ayah,

Warkah ini hanyalah sebahagian,

Daripada ratusan warkah yang ku tulis,

Buat insan bergelar abah,

Ku simpan ia dalam peti kenangan,

Tanpa bisa ku titipkan padamu,

Yang jauh di alam Barzakh,

Andai diberi kesempatan,

Izinkan aku untuk meluahkan,

Maafkanku ayah!

No comments:

Post a Comment