Oleh: Nazna Binti Misran
Dia terpaku di luar jendela. Pertama kali dia melihat mutiara jernih tertumpah di tubir mata seorang insan bergelar kakak. Kalbunya mula dipagut sayu. Bagai kedengaran satu intermeso liris yang melatari kesunyian lewat malam itu.
“Kirana....” Namanya diimbau oleh gadis manis yang sendirian berteleku di birai katil. Hujung jemarinya menyentuh permukaan bingkai gambar yang kemas di pegangan. Matanya terpejam lama. Perasaan sebak mula menerjah ke sanubari. Dia tewas dengan janjinya pada Kirana. Janji untuk tidak lagi mensia-siakan air matanya.
“Kakak...”
Semangatnya bagai direntap saat itu. Kaisara pantas menoleh.
“Siapa?”
Aneh. Baru sebentar tadi dia merasakan ada sesuatu menyentuh lembut bahunya. Seolah-olah cuba mendamaikan sekeping hatinya yang berduka. Namun, tiada sesiapa di kamar itu selain dirinya. Pandangan segera dialihkan pada foto di tangan. Kaisara nanar seketika.
“Kirana?”
Kaisara terpempan. Hanya deru angin menampar tubuh, menjawab pertanyaannya itu. Sekilas, matanya menangkap kelibat objek yang melayang di luar jendela kamarnya. Dia terpaku seketika.
Kirana segera melarikan tubuh lesunya. Terlalu sebak untuk terus berada di situ. Dia tidak mahu Kaisara melihatnya dalam keadaan sedemikian.
Kirana meredah kepekatan malam tanpa arah tuju. Perasaan takut ditepisnya. Dia tidak mempedulikan salakan anjing-anjing liar yang dirasakan dituju kepadanya. Dia meneruskan perjalanannya yang masih bersisa. Akhirnya, dia terhenti di situ. Di deretan bangunan yang berdiri gah di seberang jalan. Perlahan, dia cuba menghampirinya.
“Argghh!!!”
Teriakan demi teriakan bersahut-sahutan. Beberapa orang penghuni asrama perempuan yang sedang mengulangkaji pelajaran mula menjerit ketakutan. Di luar, kelihatan satu lembaga merayau-rayau di blok bangunan. Kirana tersenyum melihat gelagat mereka. Situasi yang acap kali berlaku tatkala menjelang musim peperiksaan. Histeria adalah fenomena global dan boleh berlaku di mana-mana, khususnya di bangunan lama seperti sekolahnya itu.
Semua pelajar telah berhimpun di tapak perhimpunan. Masing-masing berdebar menantikan arahan untuk masuk ke dalam dewan peperiksaan. Sebentar lagi, bermulalah peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan mereka selepas ini.
“Sila perhatikan rakan-rakan yang berada di hadapan dan belakang kamu. Jika ada yang kosong, sila maklumkan kepada saya dengan segera.”
Kaisara menoleh ke belakang dengan perasaan hampa. Dia berharap agar sesusuk tubuh itu ada di belakangnya ketika itu. Dia merindui kehadiran adik kembarnya yang satu itu.
”Kaisara, ada yang tak kena? Siapa yang sepatutnya duduk di belakang kamu?” tegur Puan Jannah yang kebetulan lalu di sebelahnya. Ada mega mendung yang berarak di wajahnya saat ini.
“Kirana, cikgu.”
Perlahan, tapi cukup untuk meruntun hati setiap insan yang mendengarnya. Tubuh itu didakap erat. Rasa syahdu menyelinap ke segenap kalbu guru muda itu.
“Berjuanglah bersungguh-sungguh. Demi Kirana.” Hanya itu yang mampu diucapkan sebelum melepaskan gadis itu pergi. Kaisara melangkah longlai ke dalam dewan peperiksaan. Sesekali dia menoleh ke belakang, mengharapkan kehadiran seseorang yang mustahil akan berlaku.
“Kamu, jangan lari!” Terkocoh-kocoh lelaki tua itu berlari, cuba mendapatkan gadis yang lari berselindung di belakang bangunan. Dia pasti ada seseorang di situ. Pandangannya masih jelas meskipun dia tidak memakai kaca mata ketika itu.
“Kenapa Pak Ali?” soal Puan Jannah yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.
“Ada seorang pelajar perempuan, cikgu. Saya nampak dia lari ke sana tadi.”
“Pelajar perempuan? Dia pakai baju sekolah?” Pak Ali menganggukkan kepala dengan penuh yakin. Puan Jannah segera mengajak lelaki tua itu untuk mendapatkan pelajar yang dimaksudkan.
“Tak ada sesiapa pun.” Puan Jannah mengerutkan dahi sambil memandang tepat ke arah pengawal keselamatan sekolah itu.
“Sumpah, cikgu. Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri.”
“Aneh. Saya sudah periksa senarai kehadiran calon-calon SPM. Semuanya hadir dan berada dalam dewan peperiksaan sekarang. Kalau bukan mereka, siapa pula yang merayau waktu cuti sekolah macam ini?”
Puan Jannah melangkah menuju ke dewan peperiksaan, meminta agar ketua pengawas yang bertugas memeriksa jumlah calon SPM yang berada di dalam dewan besar itu.
“137 orang calon, cikgu.”
“Hah? Calon kami cuma ada 136 orang saja, Tuan Haji. Tuan Haji cuba kira betul-betul.”
Puan Jannah bertambah bingung. Dia menyangkakan jumlah calonnya kurang, tetapi kini sebaliknya yang berlaku. Dia melihat sahaja ketua pengawas itu mengulangi perkiraannya.
“Memang 137 orang, cikgu. Saya sendiri yang kira tadi.”
“Sepatutnya memang calon kami seramai 137 orang, Tuan Haji. Tapi salah seorang daripada mereka sudah meninggal dunia minggu lepas.”
Giliran Tuan Haji Zailani pula mempamerkan riak bingung di wajahnya.
“Siapa nama pelajar tu?”
“Kirana.”
Lututnya menggeletar apabila menghampiri meja seorang calon. Matanya jelas menangkap sesusuk tubuh yang sedang terpaku menundukkan kepala di meja Kirana.
“Assalamualaikum,”
Masing-masing berpaling ke arah ketua pengawas peperiksaan yang sedang memberi salam ke arah salah sebuah meja calon yang kosong itu.
“Waalaikumsalam.” Dia masih menundukkan kepalanya, enggan bertentang mata dengan lelaki alim itu.
“Pulanglah ke tempat persemadianmu. Kehidupanmu di dunia ini sudah berakhir. Biarkan mereka yang masih hidup meneruskan perjuangan masing-masing.”
“Tapi saya punya cita-cita, punya impian yang belum tertunai. Izinkanlah saya untuk menamatkan perjuangan yang belum selesai.”
“Tempat kamu bukan di sini. Pulanglah.”
Kirana mengangkat wajahnya. Kosong. Hanya seraut wajah kosong yang dilihat oleh Tuan Haji Zailani. Tanpa mata, hidung ataupun mulut. Dia masih cuba bertahan.
“Saya tak boleh tinggalkan kembar saya keseorangan di sini. Dia perlukan saya untuk menemaninya.” Jari telunjuknya dihalakan ke arah seorang pelajar perempuan yang sedang duduk di hadapannya. Kaisara menoleh ke belakang. Sedari tadi, hatinya digayuti tanda tanya. Lelaki berkumis lebat merangkap ketua peperiksaannya itu seolah-olah sedang berbicara dengan seseorang di belakangnya.
“Kirana?” soal Kaisara, tidak percaya. Dia memandang tepat ke wajah lelaki itu, cuba mencari kepastian. Tuan Haji Zailani lantas mengangguk.
“Kembar kamu tidak mahu pulang ke tempat asalnya. Dia mahu menemani kamu di sini.”
“Kirana, pulanglah. Kakak boleh jaga diri sendiri. Pulang ya, dik.”
Kirana bangun dari tempat duduknya. Dia sempat memeluk erat tubuh saudara kembarnya itu sebelum menghilang. Kaisara dapat merasakan ada sesuatu yang melingkar di tubuhnya. Dia tersenyum.
Sebak. Matanya terpaku tatkala melihat sekujur tubuh yang terbujur kaku di situ. Melihat pada bentuk fizikalnya, gadis itu baru berusia belasan tahun. Spontan, fikirannya menerawang kepada peristiwa yang berlaku tidak lama dulu.
“Kirana, gelang tangan itu pemberian kekasih kakak, kamu tahu? Kalau bukan Kirana, siapa yang hilangkannya? Siapa lagi yang keluar masuk bilik kita ini?”
“Sumpah, kak. Kirana tak ambil. Kirana sanggup buat apa saja, tapi sumpah bukan Kirana yang ambil gelang tangan tu!”
“Kalau begitu, pergi matilah. Kakak tak mahu tengok muka Kirana lagi!”
Kirana terkesima. Begitu mudah seorang kakak membuang adiknya. Hanya kerana cinta kepada seorang lelaki. Hati kecilnya begitu terkesan dengan kata-kata tersebut. Lantas, Kirana membawa dirinya yang lara ke tempat yang jauh dan sunyi. Sekadar ingin bersendiri mengenangkan nasibnya.
“Sara, ada nampak Kirana? Sudah petang begini, ke manalah budak itu pergi?” soal si ibu bernada gusar.
“Entah!”
Keras saja jawapan si gadis itu. Rasa sebal yang merajai hati dek baru putus cinta dengan kekasih hati. Semua ini gara-gara gelang kristal sempena ulang tahun perkenalan mereka yang dihilangkan oleh Kirana.
“Ohh, mak terlupa. Ini gelang tangan kamu, bukan? Tadi Boboy main. Lepas itu, dia sepahkan merata-rata.”
Gelang tangan kristal itu bertukar tangan. Kaisara benar-benar menyesal saat ini. Menuduh si adik tanpa usul periksa.
“Mak, Kirana!”
Dia seolah-olah dapat merasakan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku ke atas saudara kembarnya itu. Nafasnya sesak tiba-tiba. Pandangannya menjadi kabur. Dia rebah di sisi ibunya.
“Tolong!” Bau cecair klorofom yang membasahi tuala menerjah deria membuatkan gadis itu terlena. Ada suara sumbang yang bercenerul di sisinya saat itu.
“Maaf menganggu. Ini rumah Encik Karim bin Majid?” Seorang lelaki berpakaian seragam polis mengetuk pintu teratak usang mereka kala malam semakin lewat.
“Ya, ini rumah saya. Encik sudah jumpa anak kami?”
Terpisat-pisat Kaisara bangun dan menghampiri kedua-dua orang tuanya yang tercegat di muka pintu.
“Maafkan saya, encik. Encik diminta ke hospital untuk proses pengecaman.”
“Pengecaman?”
Kain pelikat yang hampir terlondeh itu dinaikkan segera. Mereka tiga beranak saling berpandangan. Kirana sedari tadi setia menjadi pemerhati dari jauh. Takut untuk menemui keluarganya dalam keadaan dirinya yang tidak sempurna.
“Mangsa mungkin mati akibat dicekik, berdasarkan kepada corak fingernail abrasion di bahagian ini.” Jari telunjuk pantas menuju ke arah kesan lecetan berbentuk bulan sabit yang terdapat di leher mangsa.
“Terdapat juga beberapa ante mortem injury pada tubuh mangsa. Melihat kepada perubahan luka dan pembentukan scab dan scar, kecederaan ini dianggarkan berlaku sehari yang lalu.” Kaisara merujuk kepada keadaan luka yang membengkak dan darah beku yang terhasil.
Sekali lagi, dia terpaku melihat tubuh kaku itu. Berdasarkan penurunan suhu pada badan, gadis itu sudah meninggal dunia kira-kira 8 jam sebelum mayatnya ditemui oleh orang awam di tempat pembuangan sampah. Entah mengapa, dia berkeras untuk turut serta dalam proses autopsi ke atas mangsa tersebut meskipun tugasnya telah berakhir beberapa jam yang lalu.
“Dr. Kaisara, awak pasti mahu terus ikuti prosedur ini?” soalan daripada Dr. Rajendran membantutkan lamunannya. Sedari tadi, dia melihat doktor pelatih itu hanya mendiamkan diri. Kaisara pantas mengangguk dan menghampiri pakar patologi berketurunan India itu. Tumpuan mereka kemudian difokuskan pada salah satu bahagian pada tubuh mangsa. Kaisara membiarkan Dr. Rajendran menjalankan pemeriksaannya.
“Terdapat satu koyakan pada selaput dara.” Bergegar dunianya tatkala mendengar penjelasan daripada rakan setugasnya.
Spontan dia menjerit, “Tidak!”
“Mengucap, Sara.” Encik Karim mengelus lembut bahu anak gadisnya itu. Kelihatan isterinya sudah rebah di sisi seorang saudara yang turut hadir. Dia sendiri hampir rebah tika melihat wajah si mati buat pertama kali. Suasana di bilik mayat itu hening seketika. Masing-masing tergamam dengan berita yang baru didengari sebentar tadi.
“Seorang gadis berusia 17 tahun ditemui mati di Petaling Jaya, lewat malam tadi. Siasatan awal polis mendapati mangsa telah dirogol dan dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dibuang ke dalam semak berhampiran. Sehubungan dengan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.”
Suiz televisyen dimatikan. Ada segaris senyum tercalit di bibir lelakinya saat melihat berita yang dipaparkan sebentar tadi. Ada euforia menjalar di segenap alur sukma. Tangannya pantas mencapai gugusan kunci di atas meja. Langkah diatur keluar dari bilik hotel yang dihuni sejak beberapa hari lepas. Enjin kereta dihidupkan. Dia meninggalkan bandar yang telah menjadi saksi terhadap kebinatangan yang dilakukannya. Keretanya meluncur laju di atas permukaan jalan raya yang basah dan licin, menuju ke destinasi baru. Sekali lagi, perbuatan kejinya itu tidak dapat dijejak oleh sesiapa pun.
“Kirana nak jadi macam Gill Grissom dan Catherine Willows.”
Kirana mula memasang angan-angannya ketika pertama kali menonton drama bersiri Crime Scene Investigation yang disiarkan di saluran AXN. Ternyata, lakonan hebat dua watak utama drama tersebut berjaya mempengaruhi Kirana.
“Bekerja dengan mayat? Tolonglah,” Kaisara mencelah. Perkataan ‘mayat’ sahaja sudah cukup untuk meremangkan bulu romanya, apatah lagi untuk menghampiri tubuh tidak bernyawa itu.
“Tapi kak, orang-orang macam inilah yang akan menjadi suara bagi si mati untuk menuntut keadilan mereka. Islam pun mengharuskan pembedahan mayat, kak. Untuk menjaga maslahat dan mengambil mudarat yang paling ringan.”
Dia tersenyum. Impiannya untuk terbang di awan tinggi kini tinggal dalam lipatan kenangan. Di dalam bilik berhawa dingin itu, dia memulakan tugasan hariannya. Sebuah bilik yang dilengkapi dengan peralatan seperti body freezer, bone electric saw, meja autopsi dan troli hidrolik mayat, setia menantikan kehadiran penghuni-penghuni baru.
“Tuan, saya gagal memadankan pemilik rambut yang ditemui dalam kes rogol dan bunuh tempoh hari dengan mana-mana profil DNA dalam data. Tapi saya dapati ada sesuatu yang menarik dalam kes ini,” Linda, daripada bahagian Kriminalistik, menyerahkan laporan analisis bukti surihan kepada Asisten Supritendan Zainal Mat Zam, pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut. Dr. Rajendran dan Kaisara hanya memasang telinga dan mendengar penjelasan seterusnya.
“DNA pada rambut itu sama dengan DNA yang terdapat dalam beberapa siri pembunuhan sebelum ini. Anehnya, kes pembunuhan itu tidak berlaku di satu-satu kawasan sahaja. Berdasarkan rekod yang saya perolehi, kes-kes pembunuhan tersebut berlaku di beberapa buah negeri. Kes pertama direkodkan berlaku di Baling, Kedah kira-kira 10 tahun yang lalu. Sehingga kini, siasatan masih dijalankan.”
Dr. Rajendran memandang tepat ke wajah Kaisara yang sedari tadi hanya diam membisu. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa doktor pelatihnya itu begitu teruja untuk mengetahui maklumat terbaru perkembangan kes yang masih dalam siasatan polis. Mereka sepatutnya tidak mencampuri urusan siasatan tersebut.
“Kaisara? Kamu okay?”
Mata gadis itu kelihatan mencerlung ke arah laporan yang sedang diteliti oleh pegawai penyiasat di sebelahnya.
‘Kirana binti Karim’.
“Pembunuh ini mungkin pembunuh profesional kerana dia tidak meninggalkan sebarang jejak bukti dalam kes ini. Tapi, encik sekeluarga tak perlu bimbang. Pihak polis berjanji akan meneruskan siasatan hingga tertangkapnya individu yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan anak encik.”
‘Huh! Janji-janji manis!’ Kaisara mendengus kasar tatkala mendengarkan penjelasan tersebut, sebelum menghilang di balik pintu kamarnya.
Tiga bulan telah berlalu, namun pembunuh tersebut masih belum dapat diberkas. Tangannya mencapai sepucuk surat yang disimpan di dalam laci. Lama dia menatap kandungan surat itu. Dia menghela nafas berat sebelum mengoyakkan surat tawaran tersebut. Cita-citanya untuk menjadi seorang pramugari berkubur begitu sahaja. Pandangannya kini dialihkan pada poster drama CSI yang ditampal di dinding biliknya.
“Kakak berjanji akan menegakkan kebenaran. Demi Kirana!”
Tenang. Lelaki itu kelihatan tenang sekali, meskipun dikelilingi beberapa orang pegawai polis yang mengawal ketat pergerakannya. Sempat dia menghadiahkan senyuman dan melambaikan tangan ke arah pihak media yang hadir membuat liputan. Berwajah tampan, berkaca mata dan berpakaian kemas. Sesiapa pun pasti tidak akan percaya dengan dakwaan yang dijatuhkan ke atasnya.
“Berhenti.” Lelaki itu memberikan arahan kepada para pegawai yang mengiringinya. Di antara ratusan manusia yang membanjiri perkarangan mahkamah itu, dia tertarik pada seseorang.
“Tengok, buah hati pengarang jantung aku pun ada di sini? ”
Lelaki itu maju beberapa langkah, cuba menghampiri Kaisara yang sedang berpeluk tubuh dan menjeling tajam ke arahnya. Namun, segera ditarik oleh pegawai polis yang mengawalnya. Segera dia dibawa masuk ke kandang pesalah. Kaisara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia cuba melupakan ucapan yang terluah di bibir lelaki itu saat dirinya sedang disoal siasat oleh pihak polis.
“Bukankah aku sudah kata, aku cuma mahu sayangkan kau saja. Tapi, kau sombong! Kau hina aku. Kau malukan aku. Sakit hati aku, tau tak? Kau tahu, aku sudah lama perhatikan kau, bukan? Dari sekolah lagi. Tapi kau sombong. Kau masih berkepit dengan ketua pengawas tak guna itu. Dia buruk-burukkan nama aku depan pengetua. Akhirnya, aku dibuang kerja. Tapi masa itu, aku masih boleh bersabar lagi. Bila aku tengok kau menangis di tepi tasik hari itu, aku sudah tak boleh tahan. Aku nekad hendak bawa kau lari dan hidup bersama dengan aku. Sekurang-kurangnya, aku tak akan buat kau menangis macam apa yang jantan keparat itu buat pada kau. Tapi kau degil. Kau terjerit-jerit minta tolong. Jadi aku terpaksa buat sesuatu.”
“Binatang! Kau bunuh adik aku!” Kaisara memaki hamun bekas tukang kebun sekolah lamanya itu. Lelaki itu disyaki terlibat dalam 10 siri pembunuhan selama sedekad ini. Siapa sangka, lelaki yang pernah ditolak cintanya suatu ketika dahulu sanggup melakukan perbuatan keji tersebut.
“Entah kenapa, lepas apa yang aku sudah buat selama ini, aku masih rasa tak puas. Aku berpindah dari satu negeri ke satu negeri yang lain. Tiap kali aku pandang wajah perempuan-perempuan itu, aku terbayangkan wajah kau. Bila aku bersama mereka, aku teringatkan kau. Susah juga mahu hilangkan bahan bukti pada badan mereka. Bila aku tengok berita tempoh hari, baru aku tahu kenapa aku asyik terfikirkan kau. Sebab kau masih hidup, bukan? Mereka cakap mangsa pertama aku bernama Kirana, bukan Kaisara. Pelik. Kirana mati-mati mengaku yang dia itu Kaisara. Mungkin sebab mahu selamatkan kau? Mungkin. Sumpah Sara. Kalau aku tahu itu Kirana, sumpah aku tak akan sentuh dia walau secuit pun. Sebab cinta aku hanya untuk kau seorang saja.”
Kaisara bingkas bangun. Dia sudah tidak betah lagi untuk terus berada di situ, mendengar satu-persatu kekhilafan yang dilakukan oleh lelaki bernama Tajul itu. Belum sempat kakinya melangkah keluar dari bilik itu, Tajul menyambung semula percakapannya.
“Hari itu, aku nampak muka kau kat TV. Aku tahu, Kaisara aku belum mati. Kau masih cantik macam dulu. Aku rindukan kau. Sudah terlalu lama aku bersembunyi. Semalam, aku ambil keputusan untuk menyerah diri. Aku sanggup gadaikan nyawa aku, semata-mata untuk berjumpa dengan kau. Aku letakkan satu syarat. Aku hanya akan bercakap dengan kau seorang sahaja. Mungkin kau tak kenal aku tadi, bukan? Maklumlah, aku makin segak dan tampan. Tak macam Tajul yang kau pernah hina dulu.”
Kaisara terpaku di muka pintu. Dia memberikan isyarat kepada pihak polis. Dia mahu perbualan mereka ditamatkan di situ.
“Sara, kau jangan risaukan aku. Aku akan selamat. Mereka tak boleh jatuhkan hukuman pada orang gila macam aku. Aku hanya akan dimasukkan ke hospital sakit jiwa. Lepas itu, bolehlah kita bersama buat selama-lamanya. Sara, aku cintakan kau!”
Black Maria yang membawa penjenayah paling dikehendaki itu meluncur laju meninggalkan perkarangan mahkamah. Keputusan hakim adalah muktamad. Pihak pendakwaraya mahu membawa kes itu ke mahkamah rayuan. Pembunuh kejam seperti Tajul seharusnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.
“Kirana, selama ini kakak seringkali berperang dengan persoalan mengenai siapakah yang bertanggungjawab atas kematian Kirana. Hari ini, semuanya sudah jelas. Kakaklah yang harus dipersalahkan. Kakak yang bunuh Kirana,”
Kaisara membuang pandangannya jauh ke arah tasik buatan manusia yang terletak tidak jauh dari taman perumahannya. Kaisara berdiri betul-betul di tempat mayat Kirana ditemui dahulu.
“Kakak, semua yang terjadi telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Kirana redha, kak. Kirana gembira dapat berkorban demi kakak.”
“Kakak sudah tak sanggup untuk hidup lagi,” kakinya melangkah menghampiri gigi tasik. Kirana pantas menghalang niat buruk kakaknya itu.
“Kakak, nyawa kakak terlalu berharga untuk disia-siakan. Kalau kakak bunuh diri, kakak sudah sia-siakan pengorbanan yang Kirana lakukan.”
Hening seketika.
“Kakak minta maaf, Kirana.” Kaisara menundukkan kepalanya.
“Kakak, masih ramai lagi insan tidak berdosa di luar sana yang memerlukan bantuan kakak. Berjanjilah yang kakak akan menegakkan keadilan untuk mereka.”
Genggaman tangan mereka bersatu. Saling berpelukan antara satu sama lain.
“Kakak, sudah sampai masa untuk Kirana pergi. Mungkin, lepas ini kita tidak akan berpeluang bersua lagi. Tapi Kirana harap, kakak tak akan patah semangat. Kirana sayang kakak.”
Tubuh gadis itu kian menghilang.
“Kirana!!!”
Kaisara terjaga daripada lena. Letih amat sehingga tertidur di dalam kereta. Dia memandang ke sekeliling. Gelap. Segera dia menghidupkan enjin kereta dan beredar dari kawasan tasik itu. Dia menukar siaran radio satu-persatu. Dia tertarik dengan lagu yang sedang dikeudarakan di corong radio. Melawan Kesepian. Bibirnya ikut sama melagukan bait-bait lagu itu.
Apapun yang yang terjadi
Berjalanlah tanpa henti
Air mata tertahan
Waktu untuk dijatuhkan
Nanti kita kan tahu
Betapa bijaknya hidup
Sepahit apapun ini
Pelajaran yang bererti
Semoga kepergianmu
Tak akan mengubah apapun
Semoga mampu ku lawan
Kesepianku
p/s: Cerpen ini pernah tersiar di laman sesawang www.penulisan2u.blogspot.com dengan menggunakan nama pena 'Intrinsik Cinta'. Ini adalah cubaan pertama penulis untuk menghasilkan sebuah cerpen bercorak eksperimental. Untuk memperbaiki mutu penulisan, salah seorang rakan penulis telah menghantar cerpen ini untuk diedit oleh seorang editor, Pn Nor Liana Omar. Berikut adalah komen dan saranan yang dikemukakan oleh beliau:
Salam,
Dikepilkan pembetulan untuk cerpen tersebut. Sila gunakan kekunci 'tab' untuk memulakan perenggan yang baru, bukannya menggunakan kekunci 'space'. Ini adalah kemahiran menaip yang asas. Jadi, baiki kelemahan anda.
Secara umum, cerpen ini cuba bereksperimentasi dengan teknik flash back, come forward yang berterusan dalam karya mini abstrak ini. Sebenarnya, ia teknik yang bagus, tetapi pendekatan ini kurang digemari untuk pembaca kerana ia mudah mengelirukan. Dalam karya ini, teknik ini juga dilihat tidak kemas dan klise. Walau bagaimanapun, ia merupakan satu percubaan yang baik untuk berkarya.
Pada permulaan, tidak dinafikan ramai yang cenderung untuk menghasilkan karya-karya absurd yang sedemikian rupa. Penggunaan perkataan-perkataan yang 'baru' juga tidak salah, asalkan penulis menggunakannya kembali pada baris ayat seterusnya agar pembaca senang menduga maksudnya. Itulah cara 'memperkenalkan' kosa kata baru kepada audiens.
Jika berminat dengan karya-karya sebegini, teladani karya S.M.Zakir. Ia merupakan contoh terbaik dalam genre sedemikian. Moga memberi inspirasi. Satu tips yang amat berguna untuk menjadi penulis ialah membaca, membaca dan terus membaca.
Selamat dan terus berkarya!
Liana
No comments:
Post a Comment