Oleh: Nazna Misran
Wayar-wayar yang berselirat pada tubuh kaku itu ditanggalkan satu-persatu.
“6.45 petang.” Doktor muda yang mengetuai pembedahan itu mengisytiharkan waktu kematian pesakitnya. “Tolong bersihkan si mati sebelum saya memanggil ahli keluarganya.”
Sedari tadi, dia hanya memerhatikan sahaja prosedur pembedahan yang berlangsung. Matanya memandang sayu ke arah sekujur tubuh yang terbaring lesu di atas katil. Di luar, kedengaran teriakan panjang diikuti pula oleh tangisan sanak-saudara si mati.
“Apalah nasib kau nak? Sudah lebih setahun menanti penderma hati. Tapi sampai kau dah mati pun tak ada orang yang sanggup jadi penderma. Manusia sekarang memang pentingkan diri sendiri. Anak aku terkorban kerana sikap mereka ni.” Jerit si ibu sambil menerpa masuk ke dalam bilik pembedahan lantas memeluk tubuh anaknya yang dilitupi kain putih itu.
Tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghentikan babak sedih ini. Dia lemas berada dalam situasi tersebut. Perlahan-lahan dia melangkah pergi meninggalkan tempat itu.
“Argh... bosannya.” Dia mundar-mandir di kawasan hospital itu tanpa arah tuju. Langkahnya terhenti di hadapan sebuah wad. Kelihatan seorang lelaki sugul di sisi katil seorang pesakit.
“Mereka tidak berhati perut. Menabrak tubuh kecil yang tidak berdosa ini. Apalah ertinya undang-undang yang dicipta jika masih ramai insan tidak berdosa menjadi mangsa nahas jalanraya.” Tubuh kecil itu direnung seketika. Kaki dan tangannya dilitupi simen Plaster of Paris. Alat bantuan pernafasan membantu kanak-kanak tidak berdosa itu meneruskan kehidupan yang masih bersisa.
“Abah...” Gadis kecil itu terjaga daripada lena yang panjang. Nafasnya mula tersekat-sekat. Matanya merenung tajam ke arah syiling hospital, seolah-olah sedang melihat sesuatu yang menakutkan.
“Mimi. Kuatkan semangat. Mimi tak boleh tinggalkan abah seorang.”
“Mimi nak ikut emak. Mimi nak ikut Along. Mimi nak ikut adik. Izinkan Mimi pergi, abah” Suara gadis kecil itu perlahan dan terus perlahan, seiring dengan desahan nafasnya.
“Doktor, nurse. Tolong anak saya. Tolong selamatkan anak saya,” jerit lelaki itu.
Sekumpulan jururawat dan doktor bergegas mendapatkan lelaki itu. Tirai ditarik, menutupi katil mangsa kemalangan jalanraya itu. Bapa si gadis menanti. Mulutnya tidak putus-putus memanjatkan doa agar satu-satunya darah daging yang terselamat dalam nahas jalanraya itu dapat diselamatkan. Beberapa minit kemudian, tirai kembali dibuka.
“Maafkan kami. Kami telah mencuba sedaya upaya.”
“Ya Allah...” Hari ini, sekali lagi si bapa terpaksa mendengar berita kematian ahli keluarganya. Terbayang wajah isteri dan dua lagi anaknya yang telah pergi awal pagi tadi. Tubuhnya longlai, lelaki itu hampir rebah. Mujur orang ramai yang kebetulan lalu lalang di situ sempat memapahnya.
“Mati, mati, mati. Dari pagi tadi asyik tengok orang mati. Aku dah bosan dengar berita pasal mati. Huh!” Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia cuba melelapkan mata. Namun, bayangan semalam merencatkan lenanya. Dia memegang balutan putih yang melitupi sebahagian kepalanya. Kesakitan akibat pembedahan tempoh hari masih jelas terasa.
Pintu bilik terkuak. Dia terkesima. Seorang gadis bertudung litup menghampiri birai katil. Punggungnya dilabuhkan pada kerusi. Ada riak sendu di wajahnya. Dia hanya mencebikkan bibir lalu memalingkan muka.
“Amir, bila Amir nak sedar? Aina rindukan Amir.”
Dia menekup kedua-dua belah telinganya. Jelik mendengar satu lagi pembohongan daripada mulut gadis yang didambakannya selama ini.
“Aku benci kau. Keluar dari sini!” tengkingnya sambil memejamkan mata menahan marah.
“Amir, cepatlah sedar. Amir dah janji nak jaga Aina. Sampai hati Amir mungkir janji. Sampai hati Amir buat Aina macam ni.” Kedengaran esakan kecil di hujung suara gadis itu.
“Diam kau. Perempuan sial. Berambus. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Berambus!”
Tit, tit
Telefon bimbit gadis itu berbunyi. Dia membaca pesanan ringkas yang baru diterimanya.
Sayang dah sampai ke? Abang dalam perjalanan. Tunggu abang ya.
Gadis itu tersenyum sendirian. Gadis itu bingkas bangun, namun dia masih berdiri kaku di situ. Matanya menatap sekujur tubuh yang terbaring lesu di katil. Jari-jemari kekasih hatinya itu digenggam erat.
“Lepaslah. Aku tak suka perempuan hina macam kau sentuh tangan aku.” Dia cuba merentap genggaman gadis itu. Akhirnya, genggaman itu dileraikan. Dengan perlahan, gadis itu melangkah pergi meninggalkan bilik itu. Dia menghela nafas lega.
“Amir ada barah otak, Nurul. Doktor beritahu, dia cuma ada masa tak sampai 3 tahun saja lagi.”
“Kau biar betul, Aina? Jangan main-main.”
“Betul, Nurul. Mula-mula aku pun tak percaya. Tapi lepas dia tunjukkan laporan daripada pihak hospital, baru aku percaya.”
Aina membuka rahsia mengenai penyakit teman lelakinya yang membelenggu hidupnya. Bermula dengan peristiwa Amir pengsan ketika sedang memandu dan dikejarkan ke hospital berdekatan oleh orang ramai. Nurul tergamam. Persoalan mengenai perubahan sikap rakan baiknya itu terjawab sudah. Amir yang dahulunya seorang yanga sangat ceria dan menghiburkan, kini menjadi seorang yang sangat pendiam dan suka memencilkan diri.
“Keluarga dia tahu pasal penyakit dia?” Aina menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Habis, siapa je yang tahu?” Aina hanya mengangkat bahu.
“Kau dah pujuk dia supaya buat rawatan?”
“Sudah, Nurul. Aku dah pujuk dia banyak kali, tapi dia tak nak. Kau pun tahu keadaan keluarga dia sekarang ni.”
Nurul sedia maklum akan keadaan keluarga Amir. Bapanya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Demi menanggung kos rawatan di hospital, keluarganya terpaksa berhutang dengan pihak Ah Long. Kini, hutangnya telah mencecah lebih RM20 ribu. Saban hari, mereka menerima pelbagai ugutan daripada pihak Ah Long. Demi membantu meringankan beban kewangan keluarga, Amir bekerja secara sambilan di sebuah restoran makanan segera. Amir tepaksa membahagikan masa antara kerja dan fokus terhadap peperiksaan STPM yang bakal didudukinya tidak lama lagi.
“Aku akan cuba bawa masalah Amir kepada pihak kaunselor sekolah.”
“Tapi Nurul, Amir tak nak orang lain tahu pasal benda ni.”
“Jangan risau, Aina. Aku akan minta supaya cikgu rahsiakannya. Kalau nak harapkan kita berdua sahaja, mungkin kita tak akan dapat membantu Amir. Kita perlukan pendapat daripada orang yang sepatutnya.”
Aina hanya membisu. Gadis yang baru menginjak usia 19 tahun itu berada dalam keadaan serba salah. Dia keliru sama ada untuk terus menyimpan rahsia Amir dan melihatnya terus menderita, atau merelakan Nurul memaklumkannya pada guru kaunselor untuk mencari jalan penyelesaian. Nurul mengenggam erat jari-jemari rakan baiknya itu. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Aina. Otaknya kini ligat merencana strategi untuk membantu Amir, rakan baik yang dikenalinya sejak di tingkatan 1 lagi.
“Cikgu dah bawa masalah Amir kepada pihak kaunselor daerah.” Pn. Aisyah memulakan bicara. Keadaan dalam bilik kaunseling agak lengang pada waktu itu. Tidak seperti kebiasaannya, bilik ini menjadi tempat pelajar-pelajar bermasalah menghabiskan masa. Pn. Aisyah juga tidak mampu untuk menghalang mereka.
“Jadi?” Nurul inginkan kepastian dengan segera. Sudah hampir sepuluh kali Nurul menemui guru kaunselor sekolahnya itu bagi mendapatkan pendapat berhubung dengan masalah penyakit Amir. Dia sudah menghubungi rakan-rakan yang dipercayainya untuk turut sama membantu. Mereka sedia membantu mencari dana untuk menanggung kos rawatan Amir. Namun, terdapat satu masalah yang menghalang niat suci mereka.
“Agak sukar untuk kami membantu kerana Amir sendiri tidak tampil ke hadapan untuk menceritakan masalahnya.” Pn. Aisyah tahu jawapannya itu bakal mengecewakan hati bekas pelajarnya itu. Meskipun Nurul sudah lebih 3 bulan menamatkan zaman persekolahannya, namun dia tidak jemu berkunjung ke sekolah bagi memberikan perkembangan terbaru mengenai Amir. Pn. Aisyah melihat kesungguhan pada riak wajah salah seorang pelajar cemerlang STPM di sekolahnya itu. Setiap kali Nurul membuka cerita mengenai Amir, air matanya pasti akan mengalir. Pn. Aisyah sedia maklum akan keakraban mereka.
“Tak mengapa, cikgu. Saya faham.” Nurul menghulur kuntum senyum pada guru kesayangannya itu. Dalam pada masa yang sama, dia mengutuk sikap Aina yang enggan memberikan nombor telefon bimbit Amir kepadanya untuk dihubungi. Kerana itulah, agak sukar untuknya membawa Amir berjumpa sendiri dengan Pn. Aisyah bagi meceritakan masalah penyakitnya.
“Amir tak perlukan bantuan sesiapa pun.” Hanya itulah jawapan yang sering meniti di bibir Aina setiap kali Nurul cuba mendapatkan maklumat terkini mengenai Amir. Sikap Aina ternyata berubah semenjak dia menjadi operator di salah sebuah kilang elektronik di daerah kelahirannya. Nurul juga pernah bekerja di situ. Namun akibat berasa tersisih dengan sikap Aina, dia mengambil keputusan untuk behenti tanpa memberi notis kepada pihak kilang.
“Aku nak minta putus dengan Amir.” Aina nekad untuk memberitahu perihal tersebut kepada Nurul. Nurul terdiam seketika di hujung talian.
“Tergamak Amir main kayu tiga di belakang aku. Selama ini, aku percayakan dia. Tapi, dalam diam-diam, dia menduakan aku.” Sememangnya, Amir kini rapat dengan seorang gadis di tempat kerja barunya. Namun, tiada bukti yang mengesahkan hubungan mereka.
“Aku tak nak ada komitmen dengan mana-mana lelaki buat masa ni.” Nurul mengerutkan dahi. Aina yang dikenalinya sejak di bangku sekolah tidak pernah lelah mengejar lelaki. Ternyata Nurul tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh rakan baiknya itu. Tiba-tiba, nama ‘Azman’ terlintas di benak fikirannya.
“Siapa Azman?” soal Nurul tiba-tiba. Aina terkesima. Dia tidak menyangka bahawa Nurul menyedari perkara yang selama ini disembunyikannya.
“Dia... err, dia abang angkat aku.” Kedengaran Nurul tertawa kecil. Dia tidak sangka rakan baiknya itu sanggup memperbodohkannya dengan jawapan tersebut. Dia menyedari kehadiran lelaki bernama ‘Azman’ semenjak Aina menggunakan dua telefon bimbit. Aina memintanya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan Amir. Nurul sering terlihat nama Azman sering tertera di skrin telefon bimbit Aina. Jika dahulu, suara Amir yang menemani perjalanan Aina ke tempat kerja. Namun kini, suara itu telah digantikan dengan suara lelaki bernama ‘Azman’. Hubungan Aina dan Nurul mula retak semenjak Aina mula rapat dengan ‘Azman’. Aina sering menjauh daripada Nurul setiap kali Azman menghubunginya.
“Bohong. Aku tahu dia teman lelaki kau yang baru. Aku dah lama tahu, tapi aku diamkan je. Tak payahlah kau beri alasan yang kau tak nak ada komitmen dengan mana-mana lelaki. Kau ingat aku bodoh? Kau tipu aku. Kau tipu Amir. Kau buruk-burukkan nama Amir depan aku. Kau kata dia main kayu tiga, tapi kau pun sama macam dia.”
“Err... apa yang kau cakapkan ni Nurul? Aku tak fahamlah.”
“Sudah. Hentikan saja lakonan kau. Kau ingat aku buta? Selama ni kau bahayakan nyawa Amir. Kau suruh dia hantar kau ke tempat kerja, walhal masa tu dia tengah muntah darah, sakit teruk. Kau buat semua tu semata-mata nak buat dia marah dan bencikan kau. Supaya dia tinggalkan kau. Kenapa kau tak mengaku saja yang kau dah ada teman lelaki lain?”
“Kau tak ada hak nak marah-marah aku macam tu, Nurul.”
“Tak ada hak? Selama ni, akulah tempat kau luahkan semua masalah. Aku yang tolong tutup kejahatan kau daripada pengetahuan Amir. Aku yang sedaya upaya cuba selesaikan masalah Amir. Sekarang kau kata aku tak ada hak? Selama ni, aku cuba bantu Amir, tapi kau halang. Kau kata Amir tak perlukan sesiapa. Aku cuba berhubung dengan dia, tapi kau tak bagi. Sekarang baru aku tau kenapa. Kau nak biarkan Amir mati kan? Supaya kau boleh berfoya-foya dengan lelaki lain. Apa jenis perempuan kau ni hah?”
“Kau diam, Nurul. Aku berhak lakukan apa yang terbaik untuk diri aku. Lagipun, mak bapa aku tak kisah. Lepas ni, aku tak nak kau masuk campur dalam semua urusan aku, faham?!”
“Kau kejam, Nurul. Tergamak kau rahsiakan penyakit Amir daripada pengetahuan kami.”
“Lihat, apa yang kau dah lakukan? Amir dah mati, Nurul. Ini semua salah kau. Kau pembunuh, Nurul. Kau bunuh kawan baik kau sendiri.”
Nurul menekup telinganya. Matanya dipejamkan rapat. Air matanya mula merembes keluar. Dirinya kini dikelilingi oleh bekas rakan-rakan sekolahnya sewaktu di tingkatan 5. Kesemua mereka menyalahkan Nurul atas kematian Amir.
“Maafkan aku. Aku terpaksa. Ini semua pemintaan Amir. Dia yang minta supaya perkara ini dirahsiakan.”
“Kau bohong. Kau pembunuh.”
“Pembunuh, pembunuh, pembunuh.”
“Tidak, aku bukan pembunuh. Aku bukan pembunuh!”
Telefon bimbitnya berdering. Nurul tersedar dari lena. Dia meraup wajahnya yang mula berpeluh sambil beristighfar. Mimpi yang sama menghantui lenanya lagi. Mimpi yang terus membuatkannya berada dalam keadaan serba salah.
Matanya tertancap pada skrin telefon. Dia mengeluh.
“Saya tak boleh beri jawapan sekarang. Maaf.”
“Kenapa susah sangat awak nak terima saya? Kalau awak dah ada teman lelaki, cakap sajalah. Saya dah bosan menunggu jawapan awak. Kadang, saya rasa awak macam sukakan saya. Kadang, saya rasa awak cuma nak main-mainkan saya.”
“Saya memang sukakan awak. Tapi hati saya ada pada orang lain.”
“Siapa?” Nurul hanya membisu di hujung talian. Hanya satu wajah yang terlukis di mindanya ketika itu. Dia nekad untuk pulang ke kampung halaman. Mujurlah jarak antara kampus dengan kampungnya agak dekat.
“Tengah cuti semester ke? Mak tengok, rajin betul kamu balik rumah sekarang.”
“Taklah. Ala, mak ni. Salah ke Nurul balik jenguk mak?”
“Ye la. Itu je la alasan kamu. Hah, bersiap-siap ni nak pergi mana? Kamu tu kan baru sampai.”
“Nurul nak pergi jumpa kawan kejap. Nurul pergi dulu ya mak.”
Ibu tunggal itu menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah anak gadisnya itu. Nurul membonceng skuter milik ibunya, menuju ke taman perumahan yang terletak tidak jauh dari kampungnya. Dia berhenti di hadapan sebuah rumah. Lama dia berada di situ. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia harus berada di situ. Nurul nekad. Dia tidak mahu terus diburu oleh rasa serba salah. Dia tidak mahu dihurungi dengan pelbagai persoalan. Dia ingin melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Kerana itu, dia sanggup pulang meskipun terpaksa ponteng kuliah.
“Nurul?”
Lamunannya terhenti. Dia memalingkan wajahnya ke arah suara itu. Suara yang sudah tidak didengarinya semenjak dia mengambil keputusan STPM di sekolah. Suara yang selama ini menceriakan hidupnya. Suara yang cuba dijejaki sejak beberapa bulan yang lalu dan suara ini akhirnya kedengaran semula.
“Amir?”
Suasana di hospital agak lengang ketika itu. Dr. Imran baru selesai melakukan pemeriksaan ke atas pesakitnya. Pesakit itu koma sejak seminggu yang lalu, selepas menjalani pembedahan membuang tumor otak. Dia bersimpati dengan keadaan pesakit tersebut. Keluarganya terkorban dalam kebakaran beberapa bulan lalu. Hasil siasatan mendapati kebakaran ini berpunca daripada perbuatan khianat. Namun hingga kini, pihak polis gagal menemui bukti yang kukuh.
“Eh... Nurul. Dah lama sampai?” soal Dr. Imran kepada gadis yang sedang menanti di luar. Dia tidak berapa mengenali gadis itu. Tetapi gadis itu telah banyak membantu menyelamatkan nyawa pesakitnya yang koma itu. Dengan usaha yang dilakukan oleh gadis itu beserta rakan-rakannya yang lain, mereka telah berjaya mengumpul wang bagi membiayai kos pembedahan Amir. Walaupun barahnya telah merebak ke bahagian yang lain, Nurul tetap berkeras untuk membantu Amir.
“Baru je sampai, doktor. Err... macam mana keadaan Amir?”
“Hmm... masih tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda positif. Saya harap awak tidak berputus asa untuk memberikannya sokongan.”
“InsyaAllah, doktor. Err... boleh saya jumpa Amir?”
“Boleh, silakan.” Doktor Imran membukakan pintu untuk gadis itu. Nurul melangkah masuk. Dengan perlahan, kerusi ditarik merapati birai katil. Nurul melabuhkan punggung sambil mengeluarkan helaian kertas daripada beg sandangnya. Dia terdiam buat seketika. Mindanya menyusun kata-kata yang hendak disampaikan kepada rakan baiknya itu.
“Hai, Amir. Ini aku, Nurul. Aku tau kau mesti dapat cam suara aku, kan.”
“Hai, Nurul. Aku tau kau akan datang. Semalam aku bermimpi tentang kau tau.”
“Karya aku tersiar lagi tau. Kali ni, tersiar dekat akhbar pula. Kau cepatlah sedar. Nanti bolehlah aku tunjukkannya pada kau.”
Amir tersenyum. Dia tahu Nurul amat meminati bidang penulisan. Nurul sanggup menukar aliran ketika di tingkatan 6 dulu. Dia tidak betah berada dalam aliran Sains kerana jiwanya ada pada bidang sastera. Amir tahu, bidang penulisan kreatif memberikan pendapatan sampingan buat mahasiswa seperti Nurul.
“Err... aku sedang dalam proses menyiapkan sebuah cerpen, khas untuk kau. Tapi aku belum ada judul yang sesuai. Dan... aku belum tulis bahagian penamat. Aku tunggu kau sedar supaya kita boleh fikirkannya bersama-sama.”
“Penamat? Aku rasa kau patut tulis pasal kita. Berkahwin, mempunyai anak cucu dan hidup bahagia hingga ke akhir hayat. Tapi semua tu tak mungkin akan berlaku, kan? Kau lihat sajalah keadaan aku ni. Lemah, tak berdaya.”
“Aku minta maaf sebab desak kau jalani pembedahan ni. Kalaulah aku tahu kau akan koma, aku takkan teruskan niat aku tu. Aku minta maaf, Amir.”
“Shh... jangan cakap macam tu. Aku yang patut berterima kasih pada kau, Nurul. Semua ni salah aku. Kalaulah aku buat rawatan sejak dari awal lagi, Aina mungkin tidak akan meninggalkan aku dan bertunang dengan lelaki lain. Aku mungkin dapat menyelamatkan keluarga aku daripada ancaman Ah Long tu. Sekarang, semua orang yang aku sayangi dah pergi meninggalkan aku.”
“Amir, kau kena kuatkan semangat untuk terus hidup. Aku masih perlukan kau. Rakan-rakan kita masih perlukan kau. Selama ni, kau beri aku kekuatan. Aku tak dapat bayangkan bagaimana aku dapat meneruskan kehidupan tanpa kau.”
“Maafkan aku, Nurul. Aku tak mampu penuhi permintaan kau. Dunia ini penuh dengan manusia-manusia yang kejam. Aku tak dapat mengikut rentak tari mereka. Aku sudah penat, terlalu penat. Aku ingin berehat, rehat yang panjang.”
Titisan air mata mengalir daripada kelopak mata Amir yang tertutup rapat. Nafasnya mula sesak. Kelihatan satu cahaya putih menerangi pandangannya. Dia tersenyum, masanya telah tiba. Dia harus pergi menyahut panggilan Illahi.
“Selamat tinggal, Nurul.”
Nurul panik. Dia segera memanggil doktor. Helaian kertas berisi cerpen terbarunya bertaburan di atas lantai. Kini, dia sudah tahu akan kesudahan cerpennya.
“Innalillah...”
p/s: Cerpen ini amat bermakna. Meskipun mutunya tidak seberapa, namun ia memberikan seribu satu kenangan kepada penulis. Cerpen pertama yang berjaya dihasilkan dan tersiar di laman penulisan2u pertengahan tahun lalu. Karya yang terhasil merupakan adaptasi daripada pengalaman penulis sendiri. Didedikasikan buat seorang sahabat yang pernah menderita akibat penyakit barah otak. Meskipun jalan cerita hampir sama, namun kesudahannya jauh berbeza. Setelah bertahun terputus hubungan, penulis mendapat tahu bahawa sahabatnya kini semakin sembuh daripada penyakitnya. Satu keajaiban yang sangat menggembirakan. 3 tahun lalu, sahabat tersebut disahkan tidak dapat hidup lama. Namun kini, beliau masih bernyawa dan meneruskan cita-citanya. Buat sahabat tersebut, semoga sinar kebahagiaan akan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu sebagaimana kau cuba memberikan kebahagaiaan tersebut kepada kami semua suatu ketika dahulu
No comments:
Post a Comment